28 Mei 2009


Setibanya di dataran sekolah, kelihatan para pelajar telah berbaris dengan masing-masing berpakaian sukan (menunjukkan bahawa aku lewat ke sekolah). Ketika itu, si Yaaser sedang bersungguh-sungguh mententeramkan mereka. Guru-guru majoritinya masih berada di dalam bilik guru menyelesaikan urusan masing-masing. Kamera digital ku keluarkan dari beg POOH.


Apabila semua guru telah berbaris di hadapan pelajar, aku memulakan tugasku sebagai camera woman sekolah. Ucapan sempena sambutan Hari Murabbi disampaikan oleh Guru Besar, Ustaz Shahir. Hatiku tersentuh apabila menghayati bait-bait sajak yang dibaca ole Ustaz Shahir ditambah pula dengan iringan suara latar yang sayu iramanya. Sukar untuk ku percaya bahawa hari ini adalah hari terakhirku sebagai seorang guru @ mualimah.


Setelah selesai perhimpunan, sesi bersalaman antara pelajar dan guru pun bermula. Hibanya hati ini melihat wajah-wajah anak didik yang bakal ku tinggalkan. Esophagus ku semakin menyesak apabila bersalaman dan berpelukan dengan pelajar banat tahun 6 yang amat aku sayangi. Mataku mula bergenang..ku tahan jua agar tidak mengalir di hadapan mereka. Biarlah kesedihanku menjadi rahsia.


Apabila semua pelajar selesai bersalaman, mereka di arahkan beredar ke padang. Kini, giliran mualimat pula bersalaman.Sekali lagi aku merasakan seperti ada ketulan di esophagus tatkala bersalaman serta berpelukan dengan Mualimah Sarilah. Namun, aku berjaya menahan sebak itu. Sebaliknya, apabila tiba giliran Mualimah Fauziah Ros, seluruh kekuatanku hilang sama sekali. Dibahunya aku menangis tanpa suara. Air mataku mengalir deras apabila mendengar kata-kata Mualimah Fauziah yang amat menyentuh hati kecil ku...oh.. Setelah ku lepaskan pelukan, Mualimah Khadijah pula di hadapanku. Tangisan tadi masih tersisa. Aku tidak mampu berkata-kata lagi di saat itu.


******


Acara seterusnya ialah sukan mesra antara guru-guru dan pelajar. Perlawanan bola jaring diadakan untuk mualimat dan pelajar banat manakala perlawanan bola sepak diadakan di padang besar melibatkan mualimin dan banin SMAZ. Hari ini terserlahlah bakat guru-guru. Aku sangat kagum dengan ketangkasan Mualimah Firah dan Yani bermain bola jaring. Pelajar-pelajar bersorak riang apabila pasukan mualimah berjaya shoot bola jaring. Aku? Hmm...macam biasa, mamarazzi sekolah yang sentiasa mencari scene menarik untuk di snap..Hehe..Seronok betul ambil gambar kak Ani shoot. Ada kelas la kak Ani..Hebat!



******
Di Kelas 6 Ar-Rahman, pelajar-pelajar buat surprise untuk aku. Katanya plan Ustaz Noor. Mereka mengadakan jamuan perpisahan untuk aku. Terharunya...Nasi Tomato was the main menu and my favo! Entah kenapa..selera untuk makan pudar plak. Hanya sedikit yang mampu aku jamah.




Pelajar banin buat persembahan nasyid khas untuk ku. Sekali lagi..terharunya..Sekali sekala muncul pelajar 6AF dan banin form 1 datang menghulurkan hadiah. Banyak hadiah yang aku dapat. Tapi bukan hadiah semata-mata yang aku harapkan tetapi kejujuran dan keikhlasan mereka dalam menuntut ilmu. Apapun, terima kasih ku ucapkan kepada mereka.Love y'all.



******
Pukul 11.00 pagi, semua pelajar dan guru dijemput ke dewan SMAZ untuk menyaksikan persembahan dan mendengar ucapan daripada wakil-wakil pelajar.Persembahan Soutul Azhar dan Huffaz sangat menghiburkan. Aku percaya bahawa kemilau bakat yang ada pada anak-anak muda ini akan membawa mereka lebih jauh. InsyaAllah...



******

Aku pulang ke rumah bersama bungkusan hadiah bagaikan Santa Claus. Setibanya di rumah, aku menunaikan solat Zohor terlebih dahulu. Setelah selesai kewajiban, aku mengangkut keluar bungkusan-bungkusan hadiah dari kereta dan ku letakkan di ruang tamu. Mak ayah terkejut melihat lambakan hadiah tersebut. Ku buka satu persatu dengan cermat sekali. Tak sampai hati nak rosakkan pembalut hadiah. Terharu membaca surat-surat yang diberikan oleh Hafizudin Basri, Azri, Amru&Syazwan, Amirul Amin, Aidil dan Arif. Thanks again.




Arif menyatakan permintaan terakhirnya yang bertulis: ...MUALIMAH JANGAN PINDAH..Alahai anak-anak didik yang dikasihi...Mualimah juga berat hati untuk meninggalkan antum...Mualimah rindu antum semua. Janganlah kerana perpisahan ini, motivasi antum untuk excel dalam Sains menurun.


Hasrat di hati, nak je aku bacakan sajak yang aku reka khas untuk mereka..tapi seganlah plak.Kang buat aku menangis depan student, tak ke malu? Ah, biarlah.. Terbatal lah niat... Sajaknya begini...

Dari hati seorang guru

Wahai anak didik ku,
yang pernah ku kenali
Biarpun hadirku sementara cuma...
Namun cukup bagiku merasakan..
betapa sukarnya menjadi insan bergelar guru,
betapa payahnya mendidikmu,
agar engkau tahu
agar engkau mengerti
ilmu yang diberi


Wahai anak didik ku,
yang sentiasa ku kasihi
Biarpun hati ini terguris...
saat ku melihat engkau berangan
saat engkau malas membuat latihan
saat engkau membantah dengan cemuhan
saat kau berpaling dengan jelingan
Namun pandanganku tetap penuh belas kasihan
bimbang engkau ketinggalan
takut engkau ditimpa kegagalan
Wahai anak didik ku,
yang amat ku sayangi
Biarpun apa jua tanggapanmu..
Ingin ku jelaskan disini
Hatiku tidak pernah membenci
Sungguhpun ada ketika
Marahku membingitkan telingamu
Leterku membosankan dirimu
Pukulanku menyakitkanmu
Ingatlah itu semua sebagai tanda kasih dan sayang dariku
sebagai seorang ibu di teratak ilmu


Wahai anak didik ku,
yang selalu di hati
Biarpun engkau akan kutinggalkan...
Gurau senda, hilaian tawa,
suka dan duka kita
akan ku bawa bersama,
sebagai kenangan terindah dalam hidupku
akan ku semat wajahmu di ingatan
agar menguntum doa dan kalam suci
untuk dirimu biarpun dari jauh


Wahai anak didik ku,
yang akan ku rindui,
peganglah kalam yang baik dariku
Moga ia menjadi baja
yang menyuburi hari-hari yang engkau lalui
Segala yang kucurahkan
tidak ku harapkan balasan
tidak ku tagih pujian
cuma satu yang ku impikan
hanyalah doa yang lahir dari hatimu
agar ku beroleh sejahtera.

lham dari
Miss Zairihan
12.05 a.m
08 Mei, malam Jumaat.

Kesimpulannya, bukan senang jadi cikgu okay..tapi segala kesusahan, kekecewaan dan kemarahan hanya bersifat sementara kerana di hati seorang guru tidak akan pernah ada kebencian, yang ada ialah keazaman untuk terus mendidik dan membimbing dan keinginan untuk melihat anak murid berjaya, pandai, beradab dan apa lagi? Semua2 yang baik2..InsyaAllah.. 

Selamat Hari Guru..

0 comments:

Post a Comment

KoMeN aNda diAlukaN