26/ 05/ 09
Aku melangkah lemah menuju ke bilik air atas arahan ibu. Terlalu berat rasanya kepala ini. Namun ku gagahi jua. Lama ku biarkan air mencurahi kepala. Setelah berasa sedikit selesa, aku melangkah keluar dari bilik air dan bersiap untuk ke klinik. Memandangkan adikku masih belum mandi, tidak ku sia-siakan waktu, lantas aku berbaring di atas kusyen. Terlena aku dalam kelesuan.
(Beberapa minit kemudian...)
"An, bangun! Kata nak p klinik? Lekaslah!"
Aku tersedar apabila dikejutkan adik. Sekali lagi kepala ini terasa berat apabila ku cuba bangkit dari pembaringan. Setelah siap bertudung, ku sarungkan 'stokin' yang hampir terkoyak di hujungnya. Itu sahaja sarung kaki yang tinggal. Dokumen-dokumen penting terutamanya kad klinik panel Sekolah Al-Azhar telah ku masukkan ke dalam beg. Sebelum melangkah keluar, sempat lagi aku merungut kepada ibuku...
"Panasnya cuaca kat luar mak, kalau ikutkan hati, cek tak mau pi ambik MC.."
"Minum la air dulu, ni makan pun tidak." Kata ibu.
Aku keluar dengan perut kosong. Bukan sengaja aku tidak menjamah sarapan yang tersedia, tetapi lidah aku terasa pahit dan seleraku mati dengan serta merta tatkala menghidu bau nasi lemak.

Aku membonceng motosikal yang dipandu oleh adik. Doa kupanjatkan kepada Allah agar perjalanan kami selamat dari perkara yang tidak diingini. Pergerakan udara yang menyentuh wajah mengimbangi kepanasan cuaca pada pagi itu. Sedang aku menikmati pemandangan sawah yang menghijau...tiba-tiba..

'Broob..brobom.brobombom.bom..bom!'
"Alamak An, motor ni macam nak mampus!" Jerit adikku.
Aku diam, tidak tahu apakah respon yang wajar diberikan. Sehinggalah motorsikal Kris Modenas buatan Malaysia milik adikku berhenti tanpa sebab. Sungguh menghairankan.
'Minyak habis kot?" Aku bertanya.
''Ah, habis apanya..penuh lagi ni. Cuba tengok!" Adik ku menuding ke arah jarum penunjuk aras kuantiti petrol. 'Mana tau, kot kot meter tu tipu.." Aku masih tidak berpuas hati dengan hanya melihat jarum penunjuk tersebut.
Lantas adik aku membuka penutup tangki petrol.
" Ha..ah..banyak lagi la minyak nya" Aku membenarkan.
"Hang cuba lah start motor tu kot kot dia mau hidup" Aku memberi arahan.
Adik ku dengan sedaya upaya menghidupkan motorsikalnya. Setelah beberapa kali percubaan, masih juga gagal. Kami buntu seketika. Wajah kami terasa dipanggang dek bahang mentari. Lebih malang lagi, kami berdua terlupa dan sengaja tidak membawa handphone.
'Aduh, sudah jatuh ditimpa tangga'

'An, kita jalan la..nak tunggu sapa kat sini, takdak sapa lalu pun.' Adik aku memberikan cadangan.
'Ya Allah...berilah kami kekuatan' Hati kecilku merintih. Ku toleh ke belakang, jauhnya perjalanan pulang. Di sebelah kiri jalan, terdapat sebatang sungai yang agak besar. Di sebelah kanan pula, sawah bendang terhampar luas bagaikan hamparan permaidani hijau.
Aku mengatur langkah dengan lemah longlai..dengan sedikit tenaga yang tersisa. Alhamdulilah..aku tidak merungut dengan cubaan ini. Keringat memancar di wajah ku. Entah kenapa, aku merasakan demamku beransur hilang. Inilah hikmah Allah disebalik ujian ini.
Setelah beberapa minit berjalan, kami berhenti rehat di sebatang pokok yang tidak cukup rendang untuk memayungi kami dari terik matahari.
"Adik, cuba start motor tu, mana tau dia dah warm up tadi." Cadang aku.
Adik aku sekuat tenaga cuba menghidupkan motorsikal itu tetapi hasilnya sama, penat lelah yang diperolehinya.Kami meneruskan perjalanan. Tiba-tiba adikku berlari-lari anak sambil menyorong motorsikalnya. Ah, malas aku hendak mengejar tetapi tidak pula aku meminta untuk ditunggu. Langkah adikku semakin perlahan, penatlah agaknya.

"Pagi tadi aku berniat nak jogging, tapi ngantuk punya hal tak jadi la. Sekarang aku dah qada kan jogging pagi tadi. Hihi.." Beritahu adikku degan tercungap-cungap.
Dalam hati kecil ku..'Eh, budak ni, orang penat nak mati dia boleh seronok jogging dengan motor dia plak..'
Hampir 45 minit merentasi jalan yang tidak berturap, tiada pokok rendang untuk berteduh, tiada rumah untuk disinggah, kami pun tiba di laluan masuk ke kampung yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan di tepi jalan. Kami menghela nafas tanda lega. Sempat pula kami berhenti di tepi jalan yang dipenuhi tumbuhan bemban. Adikku mencapai pucuk bemban yang bergulung dimana embun yang terperangkap boleh dijadikan penyegar mata. Natural EyeMo.
Perjalanan diteruskan lagi.

Setibanya di rumah...
"Mak, kami dah sampai." Adik ku memberitahu ibu dengan lagak slumber. "La, sat ja?" Ibu ku agak kehairanan.
Adik ku dengan sepenuh perasaan menceritakan kepada ibu tentang apa yang kami lalui.
Ibu mengucap panjang kemudian mengeluh kerana kasihankan aku yang masih demam.
Setelah menukar pakaian yang dibasahi keringat, aku berjalan menuju ke dapur. Selera ku telah pulih selepas kejadian itu.

Maha Bijaksana Allah yang mengatur segalanya. Kejadian itu tidak mungkin ku lupakan dengan mudahnya kerana mempunyai beberapa perkara dan 'ibrah:
Pertama: Kerana aku tidak pernah berjalan sejauh itu. Apatah lagi dalam keadaan tidak sihat.
Kedua: Kerana perjalanan itu telah menjadi penawar yang menyembuhkan aku secara semulajadi sesuai dengan keadaan tubuh badan.
Ketiga: Kerana perjalanan ini mengingatkan aku kepada perjalanan yang ditempuhi Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang lebih jauh merentasi bukit bukau dan padang pasir yang tandus, gersang serta panas.
Al-Khulasoh: Sentiasalah berlapang dada dengan dugaan Allah kerana di sebalik masalah yang dihadapi ada kebijaksanaan-Nya yang akan kita sedari natijah daripada kesabaran dan keterbukaan kita menempuh dugaan tersebut. Wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment

KoMeN aNda diAlukaN