Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Selawat dan salam ke atas kekasih junjungan kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Warkah cinta ini saya nukilkan khas buat sahabat-sahabat seakidah sempena Valentine's Day atau Hari Berkasih Sayang yang bakal disambut oleh para penganut Kristian pada 14 Februari nanti. Dan kebetulan pula pada hari berikutnya ialah Maulidurrasul atau Hari Keputeraan baginda Rasulullah S.A.W. Subhanallah…mungkin ada hikmah disebalik peristiwa ini. Mungkin juga ini adalah ujian dan cabaran untuk para ulama’ dan daie kita agar masing-masing mempertingkatkan usaha untuk amar makruf nahi munkar.

Mungkin ada yang pernah terbaca artikel tentang sejarah dan hukum meraikan Valentine’s Day. Tetapi mungkin ramai lagi pemuda-pemudi kita yang belum jelas tentang hal ini. Maka wajarlah maklumat seumpama ini disebarkan setiap kali menjelangnya Valentine’s Day.

Suka untuk saya berkongsi tentang pengisian yang sempat saya catatkan ketika menonton rancangan Halaqah TV9 pada Selasa lepas. Alhamdulillah…saya bersyukur ke hadrat-Nya kerana kemudahan media dimanfaatkan dengan sewajarnya oleh pihak TV9 amnya dan krew Halaqah khususnya disaat perlunya pemberitahuan umum tentang hal Valentine tersebut. Saya kagum dengan keterbukaan TV9 dan saya yakin sahabat-sahabat sefikrah di luar sana juga barangkali tersenyum lebar.

Antara isi-isi penting yang disampaikan oleh panel ialah:
    1) Terdapat beberapa riwayat tentang asal Valentine’s Day:

   * PERTAMA: Pada suatu ketika, seorang raja Romawi iaitu Raja Claudius II melarang perkahwinan dilaksanakan kerana hal ini akan menyebabkan golongan lelaki enggan terlibat dalam peperangan yang sedang dihadapi kerajaan Rom. Namun begitu, seorang paderi iaitu St.Valentine/o bertindak mengahwinkan gadis-gadis Kristian dengan pasangan masing-masing secara rahsia. Akibat daripada tindakan tersebut, St.Valentine dipenjarakan dan dihukum bunuh pada 14 Feb 270 Masihi. Maka hari tersebut dikenang oleh penganut kristian sebagai tribute kepada St.Valentine yang dianggap shahid sebagai pejuang cinta.

   * KEDUA: Hari Valentine diambil sempena nama seorang paderi yang berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella iaitu St.Valentine dimana statusnya adalah kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St.Valentino menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seorang wanita bermazhab Protestan, maka berlaku berlaku kekecohan di kalangan rakyat Cordova kerana St.Valentine merupakan paderi mazhab Katolik dan lagi pula seorang paderi tidak boleh berkahwin. Perkara ini menyebabkan Ratu Isabella murka lalu St.Valentine dipenjarakan. Maka, tarikh 14 Februari ditetapkan sebagai hari kekasih untuk St.Valentine.

   2)  Maka dari kedua-dua riwayat jelas bahawa Valentine’s Day tiada sebarang kaitan dengan agama Islam.

   3) Hukum meraikan hari tersebut adalah haram berdasarkan ijma’ (kesepakatan) ulama.

Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah ijma’ (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama ( atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722).
Sahabat-sahabat yang saya kasihi, mari kita renungkan kalam Allah yang Maha Pencinta (al-Wadud) dan Maha Pengasih (ar-Rahim).

“ Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabannya”. (Al-Isra : 36)

“Dan belanjakanlah (harta benda mu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan diri sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”. (Al-Baqarah:195)

“ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka…” (Al-Baqarah: 120)

Kesimpulan:
  §  Janganlah kita mengikuti sesuatu amalan tanpa usul periksa apatah lagi amalan yang bukan dianjurkan oleh agama kita.
  §  Jangan binasakan maruah dan kesucian diri dengan maksiat kerana kelak akan teruk jasad kita dibinasakan api neraka. Pesanan dari Allah yang melarang kita menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan adalah tanda rahmat atau kasih sayang-Nya kepada kita.
  §  Dan ingatlah bahawa kaum Yahudi dan Nasrani sentiasa berusaha dengan pelbagai agenda untuk memalingkan akidah umat Islam agar kita menjadi umat yang lemah.

Nota cinta terakhir: (ditujukan pada diri sendiri dahulu):
  §  Hormati dan muliakan Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W iaitu pada12 Rabi’ul Awal yang jatuh pada tanggal 15 Februari 2010. Bukankah baginda S.A.W itu pejuang cinta yang agung? Baginda yang terlebih dahulu mengingati kita sebelum wujudnya kita pada saat baginda terlantar menahan sakaratul maut.
  §  Marilah sama-sama kita perbanyakkan selawat ke atas baginda S.A.W. dan berusaha untuk mengamalkan sunnah baginda sekalipun dalam hal-hal rutin seharian (saya akui sukar untuk istiqamah dengan apa yang dikatakan). InsyaAllah, semoga kasih, rindu dan cinta kita kepada baginda S.A.W dari hari ke hari semakin mekar. Bukankah mencintai Rasulullah beerti cinta kepada Allah? =)

Wallahua’lam bissawab.

"Ya Allah, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi". (Al-A'raf: 23)

Atas dasar kasih sayang sesama Muslim, sampaikan hal ini kepada saudara-saudara kita  yang lain. InsyaAllah.

0 comments:

Post a Comment

KoMeN aNda diAlukaN