Bismillahirrahmanirrahim...

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."                  
                                                                                                                                (Surah Yusuf: 12)


Sedih, kecewa, patah hati, tawar hati...bohong jika anda tidak pernah mengalami emosi-emosi tersebut ketika  menghadapi kegagalan, kekalahan, dan kehilangan orang terdekat. Bohong jika orang yang lemah semangat seperti saya tidak menangis dan merintih terlebih dahulu sebelum rasional akal kembali memainkan peranan, sebelum hati belajar untuk pasrah dengan takdir Tuhan. Hanya Allah saja yang tahu betapa peritnya hati dan minda untuk mencerna sesuatu kenyataan yang kita tidak mahu menerima bahawa sesuatu itu adalah kesudahan untuk kita.




Berapa ramai yang tertekan dalam hidup setelah kegagalan demi kegagalan menimpa, berapa ramai yang akhirnya sakit jiwa apabila diuji dengan ujian yang berat, berapa ramai pula yang menyalahkan Allah bahkan murtad kerana marah dan tidak redha dengan takdirnya???

Ya Allah, benarlah kehidupan ini satu ujian, dunia ini penuh dengan fitnah dan huru hara. Kadang-kadang kita lupa dimana kita berpijak, atas kekuatan apa kita menjalani hidup, dek kerana terlalu taksub dengan dunia. Maka itulah dasar kepada emosi-emosi negatif tadi. Apabila sesuatu yang kita impikan tidak tercapai, kita rasa down sekali, kecewa dan putus asa, menangis melepaskan hiba. Kemudian, setelah penat dan menyampah untuk memikirkan nasib, barulah kita pujuk hati mengatakan "hmm..nak buat macam mane, dah bukan rezeki aku...sabar je lah". 

Ya Allah, sudah seringkali aku tewas dahulu sebelum aku menyambut baik ujian-Mu, aku mencari dimana salah silap, dimana kekurangan aku sehingga aku tidak layak untuk apa yang aku cita-citakan. Kadang-kadang aku merasa tawar hati dan takut berharap lagi kerana aku takut untuk terus kecewa dan kecewa lagi. Aku lupa ya Allah...aku lupa siapa aku..untuk apa aku ditakdirkan hidup atas muka bumi...Ya Allah, inilah sahaja tahap iman aku. Bilakah agaknya hati aku kuat dan tabah seperti para sahabat tatkala ditimpa pelbagai bentuk musibah. Apa alasan aku untuk tidak sabar? Sehebat manakah musibah yang aku dapat? Berbaloikah air mata yang aku tangisi untuk hal dunia yang pada sisi sahabat tidak lebih daripada bangkai? Busuknya dunia ini pada sisi mereka tapi wanginya mengheret aku jauh dari pergantungan dan pengharapan kepada-Mu. Dunia telah menguasai segenap inci hatiku ya Allah yang kerananya aku menangis, kerananya aku kecewa, kerananya aku tidak redha dengan takdir, kerananya aku jadi marah dengan ketentuan, kerananya aku lari jauh dari rahmat Engkau.

Astaghfirullah...siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa aku selain Engkau? Siapa lagi yang bisa memimpin hatiku ke jalan yang lurus? Siapa lagi yang dapat menjauhkan aku dari azab? Tidak lain melainkan Engkau wahai Tuhan yang memiliki sifat Pengasih, Pengampun dan Penerima taubat.




Ya Allah, tetapkanlah hatiku pada jalan-Mu, tetaplah aku mensyukuri nikmat-Mu, tabahkanlah hatiku untuk menempuh ranjau kehidupan di alam fana supaya aku bertemu bahagia abadi di sana, teguhkanlah aku atas jalan syari'at Nabi-Mu supaya baginda mengakui aku sebahagian dari golongannya dan tetapkanlah aku di bawah lembayung rahmat-Mu selama-lamanya, dengan rahmat-Mu lah aku bisa taat dan beribadat, dengan rahmat-Mu jua ya Allah, jauhi aku dari azab kubur dan jahannam, dan dengan rahmat-Mu, masukkanlah aku ke dalam jannah-Mu...Allahumma amin...

0 comments:

Post a Comment

KoMeN aNda diAlukaN